Perjalanan TTC Saya: Dari Pemeriksaan Awal Hingga IVF Pertama
Saya rasa sudah sampai masanya untuk saya mula menulis sedikit demi sedikit tentang perjalanan TTC saya. Bukan sebab saya kuat sangat, tapi mungkin dengan menulis, saya boleh lepaskan sedikit rasa yang selama ini saya simpan.
Perjalanan ini bukan perjalanan yang mudah. Ada harapan, ada kecewa, ada air mata, ada doa yang tidak putus-putus. Kadang-kadang kita rasa kita sudah cukup kuat untuk menerima apa sahaja keputusan, tetapi bila diuji, baru kita tahu hati ini sebenarnya masih sangat rapuh.
Selepas dua tahun berkahwin, saya dan suami mula mengambil langkah untuk membuat pemeriksaan kesuburan. Kami pergi ke Klinik Kesihatan untuk mendapatkan pandangan awal. Masa itu doktor maklumkan yang tempoh kami masih dianggap awal, dan kami masih boleh terus berusaha secara semula jadi.
Tapi sebagai seorang isteri yang menunggu dan berharap setiap bulan, hati saya tetap rasa macam perlu tahu juga keadaan sebenar. Jadi, kami buat keputusan untuk pergi ke Klinik As-Salam Bangi sebab mereka ada pakej pemeriksaan kesuburan. Saya buat beberapa pemeriksaan termasuk HSG, dan Alhamdulillah semuanya okay.
Selepas itu, kami sambung pula ikhtiar di Hospital Pakar Ampang Puteri. Doktor mencadangkan untuk buat IUI, jadi kami proceed dengan rawatan IUI. Masa itu memang ada harapan. Setiap usaha kecil terasa macam satu langkah lebih dekat kepada impian kami.
Tapi akhirnya, IUI itu tidak berjaya.
Kemudian kami cuba pula ke LPPKN. Cuma masa itu doktor yang merawat ialah doktor lelaki. Saya tahu dalam rawatan kesuburan memang boleh sahaja dirawat oleh doktor lelaki, tetapi secara peribadi saya lebih selesa dengan doktor perempuan. Mungkin sebab rawatan TTC ini bukan sekadar melibatkan fizikal, tetapi emosi pun terlibat sama.
Tidak lama selepas itu, kami berpindah dari Kajang ke Kulim. Bila dah duduk di Kulim, ada kawan cadangkan untuk pergi ke sebuah klinik fertility di Pulau Pinang. Jadi kami pun pergi. Di sana, kami buat semula pemeriksaan kesuburan sebab keputusan yang lama sudah tidak valid.
Sekali lagi, keputusan pemeriksaan menunjukkan semuanya okay. Tapi sepanjang jumpa doktor di klinik tersebut, saya rasa agak kecewa sebab doktor banyak sangat tekankan soal diet dan turunkan berat badan. Saya faham berat badan mungkin ada kaitan dengan kesuburan, tetapi pada masa itu saya datang sebab nak tahu apa solusi atau rawatan yang boleh dibuat. Bukan semata-mata nak dengar perkara yang sama berulang kali.
Sepanjang jumpa doktor sebelum ini, tak pernah pula isu berat badan terlalu ditekankan macam itu. Jadi saya mula rasa kurang selesa. Saya rasa macam kami perlukan doktor yang boleh terangkan pilihan rawatan dengan lebih jelas dan menyeluruh.
Akhirnya, kami cuba pula ke Vistana Fertility Centre dan berjumpa dengan Dr. Murizah. Pertemuan dengan Dr. Murizah rasa berbeza. Beliau explain dengan baik, tengok semula keputusan kesuburan, ambil kira faktor umur dan keadaan kami, kemudian mencadangkan untuk terus buat IVF.
Selepas berbincang, saya dan suami decide untuk proceed dengan IVF. Bermulalah fasa suntikan hormon, ulang-alik klinik, scan, ubat dan macam-macam lagi. Dalam proses itu, banyak juga benda yang saya belajar. Tentang tubuh sendiri, tentang sabar, tentang redha, dan tentang betapa kuatnya hati seorang wanita bila dia sedang berusaha untuk sesuatu yang sangat dia impikan.
Sampailah akhirnya saya melalui prosedur ovum pick up.
Alhamdulillah, daripada prosedur itu kami berjaya dapat dua embryo Day 3 Gred 1. Walaupun cuma dua, bagi kami itu sudah cukup besar maknanya. Dua embryo itu membawa harapan yang sangat tinggi. Dalam hati, saya cuba untuk tidak terlalu berharap, tetapi mustahil untuk tidak berharap langsung.
Selepas dua bulan, kami buat FET. Sebelum keputusan ujian darah keluar, saya dan suami memang cuba prepare diri untuk terima apa sahaja keputusan. Kami cakap pada diri sendiri, kalau ada rezeki, Alhamdulillah. Kalau belum ada rezeki, kami cuba redha.
Tapi bila keputusan keluar negatif, sedih dia tetap lain macam.
Walaupun kita rasa kita dah ready, bila betul-betul nampak result itu, hati tetap jatuh. Rasa kosong. Rasa macam semua harapan yang kita pegang selama ini tiba-tiba terlepas. Saya tahu kami baru mula perjalanan IVF ini. Saya tahu ada pasangan lain yang sudah melalui lebih banyak kali rawatan dan ujian. Tapi sakit tetap sakit. Sedih tetap sedih.
Saya belajar, dalam perjalanan TTC ini, kita tak boleh bandingkan luka kita dengan luka orang lain. Setiap orang ada perjalanan masing-masing. Setiap orang ada ujian masing-masing. Ada yang nampak kuat di luar, tapi dalam hati hanya Allah yang tahu.
Dalam semua rasa berat ini, saya sangat bersyukur kerana Allah hadirkan keluarga yang memahami. Mereka mungkin tidak mampu menghilangkan rasa sedih yang saya lalui, tetapi kehadiran, doa dan sokongan mereka sangat memberi kekuatan. Kadang-kadang, kita tak perlukan kata-kata yang panjang pun. Cukup bila orang sekeliling faham, tidak menghukum, dan tidak bertanya soalan-soalan yang boleh melukakan hati.
Yang paling saya hargai, sudah tentu suami saya.
Terima kasih kerana sama-sama melalui perjalanan ini. Terima kasih atas pengorbanan masa, tenaga dan kewangan. Rawatan TTC bukan mudah. Banyak temu janji yang perlu dihadiri, banyak kos yang perlu ditanggung, banyak keputusan yang perlu difikirkan, dan banyak emosi yang perlu dipendam.
Saya tahu perjalanan ini bukan saya seorang yang lalui. Suami saya juga sedang berusaha, bersabar dan berkorban dengan caranya sendiri. Mungkin cara kami meluahkan rasa tidak sama, tetapi saya tahu dia juga kecewa, dia juga berharap, dan dia juga sedang cuba kuat.
Terima kasih kerana tetap ada. Terima kasih kerana menemani setiap langkah. Terima kasih kerana menjadi tempat saya berpaut ketika hati saya rasa lemah.
Buat masa ini, saya masih sedang belajar untuk menerima. Saya masih belajar untuk berdamai dengan rasa kecewa. Time will heal.
Perjalanan TTC kami belum berakhir. Saya tidak tahu apa yang Allah susun selepas ini. Tetapi saya percaya, setiap doa, setiap air mata, setiap usaha dan setiap rawatan yang kami lalui tidak pernah sia-sia.
Mungkin belum ada rezeki untuk kami bertiga. Tetapi buat masa ini, saya bersyukur kerana kami masih saling memegang tangan sebagai berdua.
Semoga suatu hari nanti, bila saya baca semula tulisan ini, saya boleh peluk diri saya yang pernah sangat sedih ini dan berkata, “Terima kasih sebab terus bertahan.”
