Kerana-Nya,

Friday, July 3, 2026


Perjalanan TTC Saya: Dari Pemeriksaan Awal Hingga IVF Pertama

Saya rasa sudah sampai masanya untuk saya mula menulis sedikit demi sedikit tentang perjalanan TTC saya. Bukan sebab saya kuat sangat, tapi mungkin dengan menulis, saya boleh lepaskan sedikit rasa yang selama ini saya simpan.

Perjalanan ini bukan perjalanan yang mudah. Ada harapan, ada kecewa, ada air mata, ada doa yang tidak putus-putus. Kadang-kadang kita rasa kita sudah cukup kuat untuk menerima apa sahaja keputusan, tetapi bila diuji, baru kita tahu hati ini sebenarnya masih sangat rapuh.

Selepas dua tahun berkahwin, saya dan suami mula mengambil langkah untuk membuat pemeriksaan kesuburan. Kami pergi ke Klinik Kesihatan untuk mendapatkan pandangan awal. Masa itu doktor maklumkan yang tempoh kami masih dianggap awal, dan kami masih boleh terus berusaha secara semula jadi.

Tapi sebagai seorang isteri yang menunggu dan berharap setiap bulan, hati saya tetap rasa macam perlu tahu juga keadaan sebenar. Jadi, kami buat keputusan untuk pergi ke Klinik As-Salam Bangi sebab mereka ada pakej pemeriksaan kesuburan. Saya buat beberapa pemeriksaan termasuk HSG, dan Alhamdulillah semuanya okay.

Selepas itu, kami sambung pula ikhtiar di Hospital Pakar Ampang Puteri. Doktor mencadangkan untuk buat IUI, jadi kami proceed dengan rawatan IUI. Masa itu memang ada harapan. Setiap usaha kecil terasa macam satu langkah lebih dekat kepada impian kami.

Tapi akhirnya, IUI itu tidak berjaya.

Kemudian kami cuba pula ke LPPKN. Cuma masa itu doktor yang merawat ialah doktor lelaki. Saya tahu dalam rawatan kesuburan memang boleh sahaja dirawat oleh doktor lelaki, tetapi secara peribadi saya lebih selesa dengan doktor perempuan. Mungkin sebab rawatan TTC ini bukan sekadar melibatkan fizikal, tetapi emosi pun terlibat sama.

Tidak lama selepas itu, kami berpindah dari Kajang ke Kulim. Bila dah duduk di Kulim, ada kawan cadangkan untuk pergi ke sebuah klinik fertility di Pulau Pinang. Jadi kami pun pergi. Di sana, kami buat semula pemeriksaan kesuburan sebab keputusan yang lama sudah tidak valid.

Sekali lagi, keputusan pemeriksaan menunjukkan semuanya okay. Tapi sepanjang jumpa doktor di klinik tersebut, saya rasa agak kecewa sebab doktor banyak sangat tekankan soal diet dan turunkan berat badan. Saya faham berat badan mungkin ada kaitan dengan kesuburan, tetapi pada masa itu saya datang sebab nak tahu apa solusi atau rawatan yang boleh dibuat. Bukan semata-mata nak dengar perkara yang sama berulang kali.

Sepanjang jumpa doktor sebelum ini, tak pernah pula isu berat badan terlalu ditekankan macam itu. Jadi saya mula rasa kurang selesa. Saya rasa macam kami perlukan doktor yang boleh terangkan pilihan rawatan dengan lebih jelas dan menyeluruh.

Akhirnya, kami cuba pula ke Vistana Fertility Centre dan berjumpa dengan Dr. Murizah. Pertemuan dengan Dr. Murizah rasa berbeza. Beliau explain dengan baik, tengok semula keputusan kesuburan, ambil kira faktor umur dan keadaan kami, kemudian mencadangkan untuk terus buat IVF.

Selepas berbincang, saya dan suami decide untuk proceed dengan IVF. Bermulalah fasa suntikan hormon, ulang-alik klinik, scan, ubat dan macam-macam lagi. Dalam proses itu, banyak juga benda yang saya belajar. Tentang tubuh sendiri, tentang sabar, tentang redha, dan tentang betapa kuatnya hati seorang wanita bila dia sedang berusaha untuk sesuatu yang sangat dia impikan.

Sampailah akhirnya saya melalui prosedur ovum pick up.

Alhamdulillah, daripada prosedur itu kami berjaya dapat dua embryo Day 3 Gred 1. Walaupun cuma dua, bagi kami itu sudah cukup besar maknanya. Dua embryo itu membawa harapan yang sangat tinggi. Dalam hati, saya cuba untuk tidak terlalu berharap, tetapi mustahil untuk tidak berharap langsung.

Selepas dua bulan, kami buat FET. Sebelum keputusan ujian darah keluar, saya dan suami memang cuba prepare diri untuk terima apa sahaja keputusan. Kami cakap pada diri sendiri, kalau ada rezeki, Alhamdulillah. Kalau belum ada rezeki, kami cuba redha.

Tapi bila keputusan keluar negatif, sedih dia tetap lain macam.

Walaupun kita rasa kita dah ready, bila betul-betul nampak result itu, hati tetap jatuh. Rasa kosong. Rasa macam semua harapan yang kita pegang selama ini tiba-tiba terlepas. Saya tahu kami baru mula perjalanan IVF ini. Saya tahu ada pasangan lain yang sudah melalui lebih banyak kali rawatan dan ujian. Tapi sakit tetap sakit. Sedih tetap sedih.

Saya belajar, dalam perjalanan TTC ini, kita tak boleh bandingkan luka kita dengan luka orang lain. Setiap orang ada perjalanan masing-masing. Setiap orang ada ujian masing-masing. Ada yang nampak kuat di luar, tapi dalam hati hanya Allah yang tahu.

Dalam semua rasa berat ini, saya sangat bersyukur kerana Allah hadirkan keluarga yang memahami. Mereka mungkin tidak mampu menghilangkan rasa sedih yang saya lalui, tetapi kehadiran, doa dan sokongan mereka sangat memberi kekuatan. Kadang-kadang, kita tak perlukan kata-kata yang panjang pun. Cukup bila orang sekeliling faham, tidak menghukum, dan tidak bertanya soalan-soalan yang boleh melukakan hati.

Yang paling saya hargai, sudah tentu suami saya.

Terima kasih kerana sama-sama melalui perjalanan ini. Terima kasih atas pengorbanan masa, tenaga dan kewangan. Rawatan TTC bukan mudah. Banyak temu janji yang perlu dihadiri, banyak kos yang perlu ditanggung, banyak keputusan yang perlu difikirkan, dan banyak emosi yang perlu dipendam.

Saya tahu perjalanan ini bukan saya seorang yang lalui. Suami saya juga sedang berusaha, bersabar dan berkorban dengan caranya sendiri. Mungkin cara kami meluahkan rasa tidak sama, tetapi saya tahu dia juga kecewa, dia juga berharap, dan dia juga sedang cuba kuat.

Terima kasih kerana tetap ada. Terima kasih kerana menemani setiap langkah. Terima kasih kerana menjadi tempat saya berpaut ketika hati saya rasa lemah.

Buat masa ini, saya masih sedang belajar untuk menerima. Saya masih belajar untuk berdamai dengan rasa kecewa. Time will heal.

Perjalanan TTC kami belum berakhir. Saya tidak tahu apa yang Allah susun selepas ini. Tetapi saya percaya, setiap doa, setiap air mata, setiap usaha dan setiap rawatan yang kami lalui tidak pernah sia-sia.

Mungkin belum ada rezeki untuk kami bertiga. Tetapi buat masa ini, saya bersyukur kerana kami masih saling memegang tangan sebagai berdua.

Semoga suatu hari nanti, bila saya baca semula tulisan ini, saya boleh peluk diri saya yang pernah sangat sedih ini dan berkata, “Terima kasih sebab terus bertahan.”




Wednesday, December 18, 2024

Bismillahirrahmanirrahim.


It has been 7 years since I last posted something on this blog.

Time really flies.

So many things have happened during these 7 years, but everything happens for a reason. Allah knows best.

These experiences have made me stronger.

Alhamdulillah...

Thank you, Allah.

For everything.



18 Disember 2024

Sekretariat WADAH Pusat, Anjung Rahmat, Bangi.

Monday, January 23, 2017

Kursus Pembangunan Staf (KPS)

Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillah, pada 20-22 Januari 2017 yang lepas diberi peluang untuk menghadiri Kursus Pembangunan Staf (KPS) yang dianjurkan oleh Yayasan Kebajikan Petugas Jamaah (YKPJ) bertempat di Nur Laman Bistari, Ulu Yam. Kursus ini bertujuan untuk menghimpunkan staf sepenuh masa di sekretariat Wadah-ABIM-PKPIM dan agensi-agensi di bawah ABIM untuk saling kenal dan faham fungsi masing-masing dalam Jamaah WAP.

Ada beberapa point penting yang ingin dikongsikan di sini. Pertamanya, kekuatan ikhlas. Sekiranya hati kita benar-benar ikhlas, apa-apa amalan kebaikan yang kita lakukan, apa-apa ucapan yang kita sampaikan akan menyentuh hati orang yang mendengar dan menerima. Itulah kekuatan ikhlas. Ikhlas itu boleh dirasai tanpa perlu kita tuturkan. Selain itu, setiap amalan kita akan diterima hanya dengan hadirnya ikhlas dalam diri kita iaitu berbuat semata-mata untuk mendapatkan redha Allah SWT. Apabila kita ikhlas, hati kita akan lebih dekat dengan Allah dan menjadi benteng diri dari godaan dan bisikan syaitan.

Keduanya, ada satu persoalan yang ditimbulkan oleh Hj Haris Ab. Halim : "Kesenangan apa yang kita mahu? Adakah harta yang banyak itu memberi kesenangan kepada kita?" Benar, harta yang banyak hanya memberi kesenangan di dunia sedangkan matlamat kita untuk mendapat kesenangan di Akhirat. Dengan menginfakkan diri dalam Jamaah, Allah akan gantikan lebih 700x ganda. Hati harus yakin dengan janji Allah. Namun begitu, keluarga tetap perlu diberi keutamaan terutama kepada kedua ibubapa. Jangan sesekali tinggalkan keluarga dan harus sentiasa ingat kepada mereka. 

Dan terakhirnya, resolusi dari aktiviti explorace. Kami dibahagikan kepada beberapa kumpulan dan seperti biasa setiap kumpulan akan berlumba-lumba untuk menjadi juara. Tetapi di checkpoint yang terakhir baru tersedar yang tujuan asal explorace bukanlah untuk mencari juara tetapi untuk saling membantu dalam mencapai matlamat WAP. Apabila bersatu dan saling membantu dengan mudahnya matlamat itu akan dapat dicapai. 

Alhamdulillah, rasa seronok dan bahagia kerana dapat kenal sahabat-sahabat dari agensi lain dan semoga semuanya terus diberikan kesihatan yang baik untuk terus berkhidmat dalam Jamaah. Aamiin ya Rabb.




P/s: Jiwai di mana tempat kita berada.

Friday, January 20, 2017

Sudah dua tahun

Bismillahirrahmanirrahim

Sudah dua tahun aku meninggalkan Daarut Tauhid
Sungguh aku rindu untuk ke sana
Aku rindu akan suasana itu
Aku rindu hati yang tenang itu

Oh Tuhan
Aku mohon
Izinkanlah aku untuk ke sana lagi

---

Teringat pesanan Aagym di hari akhir sebelum aku pulang ke Malaysia :

1. Dzikr
2. Jangan pernah jauh dengan majlis ilmu; kurang ilmu, kurang amal
3. Bergaul dengan orang yang soleh
4. Jangan rendahkan orang miskin
5. Ingat alma mater - DT

"Sekali santri, seumur hidup santri."



Catatan Hikmah #17

"Keberkahan itu, bertambah-tambah dan abadi."

Tuesday, February 17, 2015

Catatan Penulis #27 – Redha dengan Takdir Allah



Bismillahirrohmanirrohim.

“Redha Allah terletak pada amal-amal yang Allah cintai.”

Jatuh cinta tidak boleh dipaksa,
Allah yang telah mentakdirkannya.
Kita bukan tidak bisa menerima takdir,
Tetapi kita yang tidak mahu menerima takdir itu.

Keyakinan bahawa Allah telah menulis takdir,
Merupakan sebahagian daripada kunci keimanan.
Takdir, tanda kekuasaan Allah.
Melawan takdir, bermakna tidak mengakui tanda kekuasaan Allah.

Allah yang mengaturkan semua,
Sekiranya Allah berkehendakkan sesuatu yang baik,
Tidak ada yang dapat menolaknya.

Tiga ciri orang yang disukai Allah:
      1. Allah mempersulit dia berbuat maksiat
      2. Ada yang malas taat, tetapi dimudahkan Allah
      3. Selalu dikondisikan oleh Allah untuk meminta tolong kepada Allah

Kajian Ma’arifatullah
11 Disember 2014 @ 8.00 malam
Dar Al-Hajj

Monday, February 16, 2015

Catatan Penulis #26 – Curhat kepada Allah



Bismillahirrohmanirrohim.

Tiada sesuatu pun yang menyerupai Allah,
Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala sesuatu,
Curhatlah kepada Allah.

Yakinlah Allah selalu menolong kita,
Jangan sebarang curhat pada orang,
Maksimalkan curhat kepada Allah.
Allah Maha Mendengar, Maha Mengetahui segala sesuatu.
Kita tidak bisa merubah hati orang,
Hanya Allah yang bisa membolak-balikkan hati.

Berkata baiklah atau diam,
Setiap perkataan pasti dipertanggungjawabkan di Akhirat kelak.
Berfikir sebelum berbicara, jujurlah apa adanya,
Yakin akan penilaian Allah,
Yakin Allah redha dengan bicara kita.
Risaulah apabila Allah tidak suka apa yang kita bicarakan.
Tidak ada yang disembunyikan dan dilupakan Allah.

11 Disember 2014
Masjid Daarut Tauhiid